MAKE THE DAYS COUNT

MAKE THE DAYS COUNT

Monday, February 28, 2011

KeLebIHaN mEMbACa aL-QUraN



Membaca Al-Quran

Al-Quran adalah Kitab suci yang merupakan sumber utama dan pertama ajaran Islam menjadi petunjuk kehidupan umat manusia diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w, sebagai salah satu rahmat yang tidak ada taranya bagi alam semesta. Di dalamnya terkumpul wahyu Ilahi yang menjadi petunjuk, pedoman dan pelajaran bagi sesiapa yang mempercayai dan mengamalkannya. Al-Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan oleh Allah, yang isinya mencakupi segala pokok-pokok syari'at yang terdapat dalam Kitab-kitab suci yang diturunkan sebelumnya. Kerana itu, setiap orang yang mempercayai Al-Quran, akan bertambah cinta kepada-Nya, cinta untuk membacanya, untuk mempelajari dan memahaminya serta pula untuk mengamalkan dan mengajarkannya sampai merata rahmatnya dirasai dan dikecap oleh penghuni alam semesta.

Setiap mukmin yakin, bahawa membaca Al-Quran saja, sudah termasuk amal yang sangat mulia dan akan mendapat pahala yang berlipat-ganda, sebab yang dibacanya itu adalah Kitab suci. Al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi orang mukmin, baik di kala senang maupun di kala susah, di kala gembira ataupun di kala sedih. Malahan membaca Al-Quran itu bukan sahaja menjadi amal dan ibadah, tetapi juga menjadi ubat dan penawar bagi orang yang gelisah jiwanya.

Pada suatu ketika datanglah seseorang kepada sahabat Rasulullah yang bernama Ibnu Mas'ud r.a meminta nasihat, katanya: "Wahai Ibnu Mas'ud, berilah nasihat yang dapat kujadikan ubat bagi jiwaku yang sedang gelisah. Dalam beberapa hari ini aku merasa tidak tenteram, jiwaku gelisah dan fikiranku kusut; makan tak enak, tidurpun tak nyenyak."

Maka Ibnu Mas'ud menasihatinya, katanya:"Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi 3 tempat, iaitu ke tempat orang membaca Al-Quran, engkau baca Al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya; atau engkau pergi ke Majlis Pengajian yang mengingatkan hati dengan Allah; atau engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau menyembah Allah, umpama di waktu tengah malam buta, di saat orang tidur nyenyak, engkau bangun mengerjakan Solat malam, meminta dan memohon kepada Allah ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kemurnian hati. Seandainya jiwamu belum juga terubat dengan cara ini, engkau minta kepada Allah, agar diberiNya hati yang lain, sebab hati yang kamu pakai itu, bukan lagi hatimu."

Setelah orang itu kembali ke rumahnya, diamalkannya nasihat Ibnu Mas'ud r.a. itu. Dia pergi mengambil wudhu' kemudian diambilnya Al-Quran, terus dia baca dengan hati yang kusyu'. Selesai membaca Al-Quran, berubahlah kembali jiwanya, menjadi jiwa yang tenang dan tenteram, fikirannya jernih, kegelisahannya hilang sama sekali.

Tentang keutamaan dan kelebihan membaca Al-Quran, Rasulullah menyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, yang maksudnya demikian:

"Ada dua golongan manusia yang sungguh-sungguh orang dengki kepadanya, iaitu orang yang diberi dari Allah Kitab suci Al-Quran ini, dibacanya siang dan malam; dan orang yang dianugerahi Allah kekayaan harta, siang dan malam kekayaan itu digunakannya untuk segala sesuatu yang diredhai Allah."

Di dalam hadith yang lain, yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim pula, Rasulullah menyatakan tentang kelebihan martabat dan keutamaan orang membaca Al-Quran, demikian maksudnya:
"Perumpamaan orang Mukmin yang membaca Al-Quran, adalah seperti bunga utrujjah, baunya harum dan rasanya lazat; orang Mukmin yang tidak membaca Al-Quran, adalah seperti buah kurma, baunya tidak begitu harum, tapi manis rasanya; orang munafiq yang membaca Al-Quran ibarat sekuntum bunga, berbau harum, tetapi pahit rasanya; dan orang munafiq yang tidak membaca Al-Quran, ia tak ubah seperti buah hanzalah, tidak berbau dan rasanya pahit sekali."

Dalam sebuah hadith, Rasulullah juga menerangkan bagaimana besarnya rahmat Allah terhadap orang-orang yang membaca Al-Quran di rumah-rumah ibadah (masjid, surau, mushalla dan lain-lain).

Hal ini dikuatkan oleh sebuah hadith yang masyhur lagi sahih yang ertinya sebagai berikut:
"Kepada kamum yang suka berjemaah di rumah-rumah ibadat, membaca Al-Quran secara bergiliran dan mengajarkannya terhadap sesamanya, akan turunlah kepadanya ketenangan dan ketenteraman, akan terlimpah kepadanya rahmat dan mereka akan dijaga oleh malaikat, juga Allah akan selalu mengingati mereka" (diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah).

Dengan hadith di atas nyatalah, bahawa membaca Al-Quran, baik mengetahui artinya ataupun tidak, adalah termasuk dalam ibadah, amal saleh dan memberi rahmat serta manfaat bagi yang melakukannya; memberi cahaya ke dalam hati yang membacanya sehingga terang benderang, juga memberi cahaya kepada keluarga rumah tangga tempat Al-Quran itu dibaca.

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Baihaqi dari Anas r.a., Rasulullah bersabda: "Hendaklah kamu beri nur(cahaya) rumah tanggamu dengan solat dan membaca Al-Quran!"

Di dalam hadith yang lain lagi, Rasulullah menyatakan tentang memberi cahaya rumah tangga dengan membaca Al-Quran itu. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Daru Quthni dari Anas r.a., Rasulullah memerintahkan: "Perbanyakkanlah membaca Al-Quran di rumahmu, sesungguhnya di dalam rumah yang tidak ada orang membaca Al-Quran, akan sedikit sekali dijumpai kebaikan di rumah itu, dan akan banyak sekali kejahatan, serta penghuninya selalu merasa sempit dan susah."

Mengenai pahala membaca Al-Quran, Ali bin Abi Thalib mengatakan bahawa tiap-tiap orang yang membaca Al-Quran dalam sembahyang, akan mendapat pahala lima puluh kebajikan untuk tiap-tiap huruf yang diucapkannya, membaca Al-Quran di luar sembahyang dengan berwudhu', pahalanya dua puluh lima kali kebajikan bagi tiap-tiap huruf yang diucapkannya dan membaca Al-Quran di luar sembahyang dengan tidak berwudhu', pahalanya sepuluh kebajikan bagi tiap-tiap huruf yang diucapkannya.

Mendengarkan bacaan Al-Quran
Di dalam ajaran Islam, bukan membaca Al-Quran saja yang menjadi ibadah dan amal yang mendapat pahala dan rahmat, tetapi mendengarkan bacaan Al-Quran pun begitu juga.

Tentang pahala orang mendengarkan bacaan Al-Quran dengan jelas dalam surah (7) Al-A'raaf ayat 204 disebut sebagai berikut: Artinya: "Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah (baik-baik) dan perhatikan lah tenang, agar kamu mendapat rahmat"

Mendengarkan bacaan Al-Quran dengan baik, dapat menghibur perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras, serta mendatangkan petunjuk. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberikan kepada orang yang mendengarkan bacaan Al-Quran dengan baik. Demikian besar mukjizat Al-Quran sebagai wahyu Ilahi, yang tidak bosan-bosan orang membaca dan mendengarkannya. Malahan semakin sering orang membaca dan mendengarkannya, semakin terpikat hatinya kepada Al-Quran; dan bila Al-Quran dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara yang baik dan merdu akan lebih memberi pengaruh kepada jiwa orang yang mendengarkannya dan bertambah imannya. Bagaimana keadaan orang Mukmin tatkala mendengarkan bacaan Al-Quran itu digambarkan oleh firman Allah sebagai berikut:

ertinya: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya dan kepada Allah lah mereka bertawakkal."
Surah (8) An-Anfaal (ayat 2)

Diriwayatkan bahawa pada suatu malam, Nabi Muhammad S.A.W mendengarkan Abu Musa Al-AAsy'ari membaca Al-Quran sampai jauh malam. Sepulang beliau di rumah, beliau ditanya oleh isteri beliau Aisyah r.a., apa sebabnya pulang sampai jauh malam. Rasulullah menjawab, bahawa beliau terpikat oleh kemerduan suara Abu Musa Al-Asy'ari membaca Al-Quran, seperti merdunya suara Nabi Daud a.s.

Di dalam riwayat, banyak sekali disasterakan, betapa pengaruh bacaan Al-Quran pada masa Rasulullah terhadap hati orang-orang kafir yang setelah mendengarkan bacaan Al-Quran itu. Tidak sedikit hati yang pada mulanya keras dan marah kepada Nabi Muhammad S.A.W serta pengikut-pengikutnya, berbalik menjadi lunak dan mahu mengikuti ajaran Islam.

Rasulullah sendiri sangat gemar mendengarkan bacaan Al-Quran dari orang lain. Dalam sebuah hadith; yang diriwayatkan oleh Bukhari disebutkan, bahawa Abdullah Ibnu Mas'ud menceritakan sbg berikut:

Rasulullah berkata kepadaku: "Hai Ibnu Mas'ud, bacakanlah Al-Quran untukku!". Lalu aku menjawab: "Apakah aku pula yang membacakan Al-Quran untukmu, ya Rasulullah, padahal Al-Quran itu diturunkan Tuhan kepadamu?". Rasulullah menjawab: "Aku senang mendengarkan bacaan Al-Quran itu dari orang lain."

Kemudian Ibnu Mas'ud membacakan beberapa ayat dari surat An-Nisaa'. Maka tatkala bacaan Ibnu Mas'ud itu sampai kepada ayat 41 yang berbunyi:

Artinya: "Maka bagaimanakah(hal orang kafir nnti), apabila Kami mendatangkan seorang saksi (rasul dan nabi) dari tiap-tiap umat dan Kami
mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka
itu(umatmu)." sedang ayat itu sangat mengharukan hati Rasulullah, lalu beliau berkata: "Cukuplah sekian saja, ya Ibnu Mas'ud!". Ibnu Mas'ud melihat Rasulullah menitiskan air matanya serta menundukkan kepalanya.
HADIS-HADIS TENTANG KELEBIHAN MEMBACA &
MENDENGAR BACAAN AL-QURAN

Dari Abi Umamah r.a katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda “Bacalah olehmu akan Al-Quran, sesungguhnya dia datang pada Hari Kiamat kelak memberi syafaat kepada tuannya”.
– Hadis Riwayat Muslim.


Dari Saidina Usman bin Affan r.a katanya, berkata Rasulullah s.a.w “Sebaik-baik kamu ialah seorang yang belajar Al-Quran dan mengajarnya”
Hadith riwayat Bukhari.
Dari Aisyah r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w “Seorang yang membaca Al-Quran sedang dia mahir dalam membacanya, bersamanya malaikat utusan Allah yang baik. Dan orang yang membaca Al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (berkeadaan payah), maka baginya dua pahala”
Hadith Riwayat Muslim.

Dari Nawwas bin Sam’an r.a katanya, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda “Dibawa di Hari Kiamat nanti Al-Quran dan ahlinya, yang beramal dengannya di dunia. Mendahuluinya oleh Suratul Baqarah dan Ali Imran, kedua-duanya berhujah membela tuannya”.
Hadis Riwayat Muslim (dengan riwayat yang sahih)


Sabda Rasulullah s.a.w:
‘ Barangsiapa membaca satu huruf daripada kitab Allah maka baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan (digandakan) dengan sepuluh seumpamanya. Tidak aku katakan (Alif Lam Mim) itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf ‘
(Riwayat al-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah s.a.w:
“ Bacalah olehmu akan al-Quran sesungguhnya ia akan datang pada hari qiamat memberi syafa’at kepada pembacanya”
(Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w:
“ Sebaik-baik ibadat (sunat) umatku ialah membaca al-Quran”
(Riwayat al-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah s.a.w:
“ Barangsiapa mendengar satu ayat dari kitab Allah (al-Quran) maka ia akan menjadi cahaya untuknya pada hari qiamat”
(Riwayat Ahmad)
p/s: "sesiapa jiwa x tenang..sila la slalu baca al-quran..moga Allah bg ketenangan kt kita....

No comments:

Post a Comment