MAKE THE DAYS COUNT

MAKE THE DAYS COUNT

Thursday, August 7, 2014

AKU INGIN NAIK HAJI



" LabbaikAllah hummalabbaik

Labbaika la syarikala kalabbaik

Innal hamda wan niqmata lak

laka walmulka la syarika lak "


Bismilahirahmanirahim.. syukur ke hadrat Ilahi dengan izinNya masih dapat bernafas di bumiNya. Selawat serta salam untuk Rasul junjungan Nabi Muhammad s.a.w beserta sahabat dan keluarga baginda. Syukur kerana kita dapat menghabiskan puasa di Bulan Ramadhan yang lalu dan menyambut dengan penuh kemenangan bulan Syawal.

MasyaAllah Malaysia masih lagi dalam keadaan aman damai. Nikmat yang tidak terhitung oleh Allah S.W.T kepada kita hambanya. Ucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Hati ni terdetik rindunya untuk pergi ke Makkah walaupun belum pernah menjejakkan kaki ke sana. Sejak umur ku berumur 8 tahun aku melihat arwah wan dan tokku (Al-Fatihah untuk kalian) telah pergi menyahut panggilan haji. Subhana Allah perasaan yang sebak dan sukar digambarkan. Selepas itu Pak long ku pula menyusul pergi. Tahun lepas mama dan cik lee (ibu dan ayah saudara) mengerjakan ibadah umrah di sana.


Sangat sebak dengan cerita yang mereka kongsikan dengan ku. Meronta-ronta untuk pergi ke sana. Hidayah itu milik Allah dan Allah memberi kepada hamba yang Dia kehendaki. Ya Allah semoga aku sempat pergi menunaikan haji dan umrah. Aku ingin solat di depan Kaabah, ingin solat di Masjidil Nabawi. MasyaAllah tidak tergambar rindu kepada Rasul junjungan Nabi Muhammad s.a.w.. berdoa di raudah.. Permudahkan urusanku ya Allah.



Tanah Suci Makkah



Lirik Lagu Panggilan Haji -NUR ASIAH DJAMIL

Panggilan haji
Telah tiba lagi
Menunaikan ibadah
Panggilan Baitullah

Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah
Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah

Malam subuh dan senja
Pergi ke Kaabatullah
Malam subuh dan senja
Pergi ke Kaabatullah

Sembahyang berjamaah
Tawaf saei dan umrah

Terdengar suara ( panggilan bergema )
" LabbaikAllah hummalabbaik
Labbaika la syarikala kalabbaik
Innal hamda wan niqmata lak
laka walmulka la syarika lak "

Tiba masanya kini
Wuquflah di Arafah
Terdengar sayup sampai
Tahmid tazkir dan tasbih

Putih bersih berseri
Abdi pada Ilahi
Terbayanglah di sini
Tempat berhimpun nanti
(tempat.. berhimpun... nanti)

Dari padang Arafah
Lalu ke Muzdalifah
Bermalam di Mina
Melontar tiga jumrah

Syarat rukun haji sempurnalah sudah
Mogalah ibadah haji mabrurah
(haji.. mabrurah...)

Masjidil Nabawi terletak Makam Rasul
Taman Raudhah tempat himpun doa
Padamu pinta Wahai Junjungan
Selawat dan salam mohon syafa'at
(Selawat dan salam mohon syafa'at.... )

Ya sofwatAllah....

Panggilan haji
Telah tiba lagi
Menunaikan ibadah
Panggilan Baitullah
Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah


https://www.youtube.com/watch?v=u6BnDhmscKY

p/s : Aku tidak mampu pergi ke Makkah dalam masa yang terdekat ya Allah. Aku bukanlah dari kalangan orang yang berada yang mampu untuk berulang-alik ke rumahMu. Ya Allah berikanlah sedikit ihsan pada hambaMu ini supaya dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu. Sesungguhnya aku merindui bumi Madinah, Masjid Nabawi yang tersergam indah di dalamnya ada jasad seorang Rasul dan 2 sahabat yang dijamin syurgaMu, Raudhah taman syurga, Mekah Tanah Haram, Baitullah tempat tawaf yang mulia. Safa dan Marwah memberi kekuatan, bukit-bukit dan padang pasir di Tanah Haram dan segala isinya. Jemputlah kami ya Allah, aku ingin menyentuh Kaabah itu dengan tanganku. Aku ingin merasai mendaki Gua Hira seperti saudaraku yang lain. Amin..

hamba ALLAH,
nurainin sofia bt halim

Wednesday, August 6, 2014

Kemuliaan Masjidil Aqsa




Sering kita mendengar syarahan dan kupasan mengenai perjalanan yang agung yang dilalui oleh baginda rasulullah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, peristiwa ini terkenal dengan nama Israk & Mikraj.

Dalam kesempatan mengingati dan menghayati peristiwa ini, kali ini saya akan berkongsi kepada pembaca beberapa kelebihan yang di bentangkan kepada kita menerusi Al-Quran dan Hadith, kelebihan dan kemuliaan ini boleh di kumpulkan menjadi 4 kemuliaan :

Pertama: Kiblat yang pertama bagi muslimin diwaktu itu adalah Masjidil Aqsa sehinggalah Allah swt menurunkan ayat : “Kerap kali Kami melihat Engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan Engkau berpaling mengadap kiblat Yang Engkau sukai. oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. dan Sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui Bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah Yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa Yang mereka lakukan.” (Al-Baqarah:144)

Kedua: Jika kita melihat dengan lebih mendalam, kita akan sedari bahawa bumi yang terletaknya Masjidil Aqsa dalam peristiwa Israk dan Mikraj adalah satu pusat transit dari dunia ke langit yang tertinggi. Ia adalah satu pemilihan oleh Allah yang mengandungi hikmah yang tinggi.

Firman Allah swt: "Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."(al-israk:1). Keberkatan bumi Palestine dan sekelilingnya yang dinyatakan oleh Allah dalam ayat tersebut sebenarnya telah dijelaskan jua oleh Allah di dalam Al-Quran dalam beberapa tempat yang berbeza antaranya :

1.Mengenai kisah Nabi Ibrahim as : "Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia."(Al-Anbiya..:71)

2.Mengenai kisah Nabi Musa as : "Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) Yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, Yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. dan telah sempurnalah kalimah Allah (janjiNya) Yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa Yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa Yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan Yang tinggi)" (Al-A'raf:137)

3.Mengenai kisah Nabi Sulaiman as: "Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin Yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendakNya ke negeri Yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."(Al-Anbiya..:81)


4. Mengenai kisah saba’: "Dan - di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) Dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) Yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), - Kami adakan beberapa buah bandar Yang jelas kelihatan (kepada orang-orang Yang melalui jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar Yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): " berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa Yang kamu suka, malam dan siang, Dalam keadaan Yang aman".".(saba..:18). Kesemua ayat yang dikongsi tadi menunjukkan "keberkatan" yang ada, kerana bumi itulah bertempatnya ramai para Nabi dan Rasul sebelum Rasulullah.

Ketiga : Rasulullah pernah bersabda yang mana maksudnya: “Tidak boleh membuat persiapan yang rapi untuk pergi ke sesebuah masjid kerana kelebihannya melainkan tiga masjid. Masjid Haram, Masjid al-Aqsa dan Masjid ku ini.” (Hadith sahih Bukhari dan Muslim).

Rasulullah bersabda dalam hadith yang lain di mana maksudnya: Solat di masjid al-Aqsa menyamai pahala 500 solat di masjid-masjid yang bukan masjid Haram dan masjid Nabawi. (hadith sahih Bukhari dan Muslim)

Keempat : Bumi Palestine adalah bumi perjuangan.

Rasulullah pernah bersabda di mana Maksudnya:“Sekumpulan dari kalangan ummatku akan mempertahankan kebenaran, mereka mengalahkan musuh-musuh mereka dan orang-orang yang menenteng mereka tidak dapat mengalahkan mereka dan mereka hanya mendapat sedikit kerosakan sehinggalah datangnya kiamat mereka tetap dalam keadaan demikian.” Para sahabat bertanya “Dimanakah mereka hai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Di Baitul Maqdis dan disekelilingnya.” (Hadith riwayat Abdullah bin Ahmad dan Thabrani – para perawinya thiqah)

Nah..hebat bukan kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada bumi Palestine selepas Makkah dan Madinah, bagi mereka yang telah dapat menziarahinya ucapkanlah Alhamdulillah

Fakta Sebenar Bangunan Masjid Al-Aqsa



by HASNUL HADI AHMAD on AUGUST 11, 2013




Bangunan al-Masjid al-Aqsa Yang Sebenarnya


Al-Masjid al-Aqsa adalah merupakan masjid ketiga tersuci di dalam agama Islam. Ianya juga merupakan tempat di mana Allah memperjalankan nabi Muhammad SAW pada waktu malam semasa peristiwa Isra’ dari al-Masjid al-Haram di Makkah ke al-Masjid al-Aqsa di al-Quds. Lokasinya terletak di kawasan yang diberkati dan suci. Keberkatan kawasan tersebut bukan sahaja dapat dinikmati daripada aspek spiritualnya sahaja, tetapi daripada aspek material pun dapat dirasai, seperti kesuburan tanah yang menghasilkan produk perladangan terbaik, cuaca yang nyaman dan seumpamanya. Ramai nabi menjadikan bumi ini sebagai tempat tinggal di dalam misi dakwah mereka. Masjid ini juga pernah menjadi qiblat pertama bagi umat Islam.


Suatu masa dahulu, umat Islam bebas untuk keluar masuk di dalam al-Aqsa. Ramai yang memulakan pergerakan menunaikan haji dari masjid ini. Apatah lagi terdapat galakan langsung daripada nabi Muhammad untuk menziarahinya. Bersabda nabi Muhammad SAW di dalam sepotong hadith, yang bermaksud:


Daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A. Rasulullah SAW dilaporkan berkata:“Janganlah bersungguh-sungguh/bersusah-payah pergi berjalan melainkan ke tiga masjid, al-Masjid al-Haram (Makkah), al-Masjid al-Aqsa (Al-Quds) dan Masjidku (Masjid Nabi di Madinah).” - Muttafaqun alaihi dengan lafaz daripada Bukhari.


Dome Of The Rock (Qubbah al-Sakhrah) di Palestina


Sehinggalah penjajahan Zionist ke atas Palestin, al-Masjid al-Aqsa kini sunyi daripada pengunjung Muslim bukan Arab. Sekatan serta fatwa pengharaman menziarahinya oleh Mufti Palestin yang turut disokong ramai ulamak kerana perlu membayar wang yang banyak kepada penjajah Zionist, menyebabkan hanya sedikit daripada kita yang mengenali bangunan al-Aqsa yang sebenarnya.


Di dalam bersemangat mempertahankan al-Aqsa, ada antara umat Islam yang cuba untuk memperkenalkan bangunan al-Aqsa. Antara maklumat yang kerap disebarkan melalui rantaian email dan tapak sesawang seperti ini, ialah menyatakan yang Qubbah al-Sakhrah (Dome of the Rock) adalah bukan al-Aqsa. Mereka mendakwa yang ianya adalah propaganda Zionist untuk mengalihkan fokus umat Islam daripada mempertahankan al-Masjid al-Aqsa yang sebenarnya. Ramai daripada kita yang percaya dengan maklumat ini.


Gambar yang kerap disebarkan untuk menunjukkan al-Aqsa yang sebenar


Dalam artikel ini, saya akan cuba berkongsi maklumat yang sebenar mengenai bangunan al-Masjid al-Aqsa seperti yang dikenali penduduk Palestin. Saya perlu memberikan kredit kepada pensyarah Universiti al-Najah, Dr Haithem F. al-Ratrout yang telah melakukan kajian perkembangan senibina al-Aqsa di dalam kajian PhD semasa menuntut di Al-Maktoum Institute. Saya telah mendapat keizinan beliau untuk menyebarkan maklumat kajiannya, kerana menurut beliau ini merupakan tanggungjawab Muslim bagi memperkenalkan bangunan al-Aqsa yang sebenarnya. Anda boleh membeli buku beliau daripada laman ini untuk mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci.


Dr Haithem F. al-Ratrout


PEMBINA AL-AQSA YANG SEBENARNYA


Untuk mengetahui al-Aqsa, kita terlebih dahulu perlu mengetahui siapakah pembinanya. Menurut ulamak, tidak ada satu nas yang amat sahih menyatakan secara jelas siapakah pembina al-Aqsa. Cuma terdapat sepotong hadith sahih menceritakan secara umum pembinaan al-Aqsa, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, yang bermaksud:


Hadith Sulaiman bin Mahran al-A’mash, daripada Ibrahim bin Yazid al-Tamimi, daripada bapanya Abu Zarr beliau berkata, aku bertanya kepada Rasulullah:“Wahai Rasulullah, masjid yang manakah dibina terlebih dahulu (dalam sejarah)?” Nabi menjawab, “al-Masjid al-Haram.” Aku bertanya lagi, “Selepas itu?” Jawab nabi, “al-Masjid al-Aqsa.” Aku bertanya lagi, “Berapa jarak pembinaan antara keduanya?” Nabi menjawab, “40 tahun.”….


Berdasarkan hadith di atas, oleh kerana jarak pembinaan antara al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Aqsa adalah dekat, iaitu 40 tahun, ditambah lagi dengan umur umat terdahulu yang amat panjang, maka ramai ulamak berpandangan pembina kedua-dua masjid ini adalah orang yang sama. Justeru, dalam usaha mencari siapakah pembina al-Aqsa, adalah perlu untuk kita mencari siapakah pembina al-Masjid al-Haram di Makkah.


Sebahagian kita berpandangan yang pembina al-Masjid al-Haram ialah Nabi Ibrahim. Ini berdasarkan kepada ayat al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 127, yang bermaksud:


“Dan ketika Nabi Ibrahim dan Ismail mengangkat kembali tapak asas tapak rumah ibadah itu (Al-Masjid al-Haram).”


Jumhur ulamak, walau bagaimanapun menyatakan yang ayat di atas hanyalah menunjukkan yang nabi Ibrahim membina kembali tapak al-Masjid al-Haram yang telah dibina oleh nabi sebelumnya. Dengan erti kata lain, nabi Ibrahim bukanlah orang pertama yang membina al-Haram. Sekiranya nabi Ibrahim bukan orang pertama membina al-Haram, maka baginda juga bukanlah orang pertama membina al-Aqsa.


Ketika mentafsirkan ayat di atas, Imam al-Tabari telah merekodkan beberapa riwayat mengenai pembina al-Masjid al-Haram yang sebenarnya. Antaranya ialah seperti yang dilaporkan oleh Ato’ bin Abi Rabah dan Abdullah bin Amru yang menyatakan bahawa pembina Ka’bah yang pertama sebenarnya ialah nabi Adam. Apabila nabi Adam diturunkan dari langit, baginda telah membina rumah ibadah pertama di muka bumi dengan arahan Allah SWT. Baginda tawaf di keliling Ka’bah tersebut, berdasarkan sempadannya yang telah ditetapkan. Ka’bah itulah merupakan asal bagi al-Masjid al-Haram. Kemudian berdasarkan hadith Abu Dzar tadi, baginda telah membina al-Aqsa 40 tahun selepasnya. Adapun nabi Ibrahim, baginda hanyalah membangunkan kembali asas binaan tersebut yang telah roboh berikutan banjir besar serta faktor cuaca yang lain.


Justeru, ramai ulamak yang menyatakan nabi Adam adalah pembina al-Aqsa kerana baginda juga membina Ka’bah.





KONSEP BINAAN MASJID DI DALAM ISLAM


Untuk mengetahui bangunan al-Aqsa, kita juga perlu untuk mengetahui konsep binaan masjid di dalam fiqh Islam. Secara ringkasnya, yang dinamakan masjid itu perlulah mempunyai empat elemen:


1. Lokasi.


2. Sempadan.


3. Qiblah.


4. Aktiviti, termasuklah ritual ibadah dan juga segala aspek kehidupan yang membawa kesejahteraan akhirat.





Gabungan lokasi dan sempadan, menurut ulamak, tidak membawa maksud yang masjid itu perlu berada di dalam satu bangunan. Masjid di zaman nabi Muhammad pun tidak mempunyai bangunan. Yang paling penting ialah, pembina masjid tersebut perlu menentukan lokasi dan sempadannya. Adalah menjadi satu kesilapan sekiranya kita memahami yang masjid itu perlu dibuat di dalam bangunan.


LOKASI AL-AQSA


Dalam peta politik moden, al-Aqsa terletak di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Pekan Lama atau Old City of Jerusalem, Tebing Barat (West Bank). Semasa zaman nabi, banyak istilah yang digunakan untuk merujuk kawasan ini, seperti Eiliya’, Sham, al-Ard al-Muqaddasah, al-Ard al-Mubarakah dan al-Quds. Old City of Jerusalem dikelilingi oleh pagar. Di dalamnya terletak kawasan petempatan lama. Ianya agak padat. Dahulu Muslim Arab merupakan majoriti, akan tetapi selepas penjajahan, orang Yahudi semakin ramai menguasai kawasan petempatan di dalam Old City of Jerusalem. Turut berada di dalam pagar Old City berkenaan, ialah Holy of Sepulchre, gereja utama agama Kristian. Al-Masjid al-Aqsa terletak di tenggara pagar Old City.


Pandangan udara Old City of Jerusalem dan al-Aqsa


PLAN KA’BAH DI AL-MASJID AL-HARAM


Selain itu, kita juga perlu mengetahui bagaimanakah plan asal Ka’bah yang telah dibina oleh nabi Adam. Ini adalah kerana kita telah faham bahawa pembina kedua-dua bangunan ini kemungkinan besar adalah orang yang sama berdasarkan hadith Abu Dzar tadi. Ramai yang memahami Ka’bah sebagai bangunan berbentuk kiub yang dilitupi oleh kain kiswah hitam. Fakta ini kurang tepat, kerana sebenarnya kawasan Hijir Ismail adalah juga sebahagian Ka’bah berdasar pandangan ramai ulamak. Jika diteliti laporan daripada al-Azraqi (meninggal 222 H), beliau telah melakarkan plan Ka’bah seperti yang telah direnovasi oleh nabi Ibrahim seperti imej berikut:





BANGUNAN AL-AQSA YANG SEBENAR


Antara gambar terbaik untuk melihat pandangan udara al-Aqsa ialah seperti berikut.





Secara ringkas, al-Masjid al-Aqsa yang sebenar ialah meliputi semua monumen bangunan dan tanah lapang di sekitar pagar empat segi di atas. Hujjahnya ialah seperti berikut:


1. Nabi Muhammad diisra’ ke al-Aqsa. Kemudian dimikrajkan dari al-Aqsa juga. Semua bersetuju yang nabi dinaikkan ke langit daripada lokasi Dome of the Rock sekarang yang letaknya di bukit paling tinggi di dalam pagar di atas. Justeru tidaklah tepat sekiranya Dome of the Rock dikatakan bukan sebagai al-Aqsa.


2. Masjid tidak semestinya berada di dalam satu bangunan. Ianya boleh jadi di atas tanah lapang, atau dalam bangunan, atau gabungan tanah lapang dan bangunan, selagi mana ditentukan lokasi dan sempadannya.


3. Al-Aqsa mempunyai hubungan dan persamaan dengan Ka’bah. Tidak mustahil, kerana pembinanya adalah orang yang sama. Bahkan jika dibesarkan plan Ka’bah, kita akan dapati yang plannya adalah sama dengan pagar sempadan al-Aqsa. Dengan erti kata lain, sudut bukaan setiap hujung empat seginya adalah sama. Penjelasan lanjut boleh diperolehi daripada buku Dr Haithem yang sebenarnya merupakan thesis PhD beliau.





4. Memang benar Saidina Umar seakan marah dan tidak bersetuju dengan cadangan Ka’ab al-Ahbar mengenai lokasi di mana perlunya dibina bangunan masjid di dalam al-Aqsa. Ka’ab mencadangkan di lokasi Dome of the Rock sekarang. Umar tidak bersetuju kerana lokasi itu adalah lokasi paling suci dalam agama Yahudi, dan keduanya bangunan utama yang menempatkan Imam sembahyang, perlulah berada di tempat paling hampir dengan qiblat/Ka’bah. Maka dibinalah bangunan masjid kecil di selatan sempadan pagar al-Aqsa yang betul-betul dibina oleh nabi Adam menghadap ke arah Ka’bah. Masjid asal yang dicadangkan saidina Umar itu dikenali penduduk tempatan sebagai Jami’ Qibli atau Jami’ al-Aqsa. Adapun sekiranya menyebut al-Masjid al-Aqsa, maka ianya merujuk kepada semua yang berada di dalam pagar sempadan al-Aqsa tadi, termasuklah Jami’ Qibli, Masjid Buraq, pelbagai masjid kecil di dalamnya, beberapa bilik perpustakaan, pejabat dan kelas pengajian, Dome of the Rock, Dome of Ascension, Dome of Chain, tanah lapang, dan lain-lain.


Semua yang berada di dalam garisan kuning di atas adalah al-Masjid al-Aqsa


KESIMPULAN


1. Al-Aqsa ialah kawasan yang meliputi semua monumen, bangunan dan tanah lapang di dalam pagar al-Aqsa seperti gambar di atas. Ini termasuklah Dome of the Rock, yang merupakan sebahagian daripada al-Masjid al-Aqsa.


2. Umat Islam perlu menghentikan penyebaran maklumat salah yang kononnya Dome of the Rock bukan sebahagian daripada al-Aqsa. Sasaran Zionist sekarang ialah membina Haikal Sulaiman di atas tapak Dome of the Rock, yang dianggap sebagai The Holiest of Holy oleh orang Yahudi. Sekiranya kita membiarkan fokus kita daripada mempertahankan Dome of the Rock, maka mudahlah orang Yahudi merampas al-Aqsa.





3. Saya amat mencadangkan rakan-rakan pembaca untuk membeli buku Dr Haithem, serta membaca kajian lanjut mengenai pembinaan Ka’bah, pembinaan Jami’ Qibli, Dome of the Rock dan kubah-kubah lain, sejarah pemerintah yang menguasai dan memakmurkan al-Aqsa dan lain-lain.


Oleh: Ahmad Irfan Ikmal Hisham


Wallahu’alam….